RSS Feeds

Translate


2.19.2010

Dalil Menyambut Maulid

Cetak Halaman
Dalil Menyambut Maulid
Semasa saya menghadiri satu solat jenazah di Pertubuhan Kebajikan al-Khaadem malam tadi, sejurus selesai pelaksanaan solat, datang seorang lelaki bertanya tentang dalil menyambut maulid. Beliau mengatakan ada di kalangan para ustaz yang mengatakan sambutan maulid mempunyai dalil daripada hadith Nabi s.a.w. Dalil tersebut ialah hadith di mana Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasanya pada hari Isnin lalu Baginda menjawab, “Pada hari itu aku dilahirkan…”
Tiba-tiba perbincangan kami terputus kerana perbualan dan sapaan daripada jemaah lain. Apabila pulang, teringat saya kepada persoalan itu. Justeru, saya rasa terpanggil untuk membincangkan perkara ini seperti berikut:
Pertama sekali, tentang dalil menyambut memang ada iaitu hadith berikut:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صوم الاثنين ؟ فقال " فيه ولدت . وفيه أنزل علي " .
صحيح مسلم (1162)

Maksudnya: Bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari Isnin. Maka baginda bersabda, “Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu diturunkan wahyu kepadaku.”
Kedua, berkenaan dengan pendalilan ataupun cara menggunakan dalil yang sahih itu. Perkara ini ada dua sudut iaitu sudut betul dan sudut salah:
Adapun sudut betul, sekiranya kita ingin menyambut kelahiran Nabi s.a.w. dengan amalan yang terdapat dalam hadith itu iaitulah berpuasa pada hari Isnin.
Berkenaan sudut salah pula ialah apabila hadith itu digunakan untuk amalan yang tidak terkandung dalam hadith itu. Antara amalan yang tidak terkandung dalam hadith itu ialah perarakan dan pembacaan puisi yang tidak berdasarkan maklumat ilmiah bahkan terdapat di dalamnya kenyataan-kenyataan yang menyalahi asas-asas ilmiah bahkan menyalahi logik akal yang sihat.
Perhatian: Adapun ceramah yang diadakan khusus apabila datangnya bulan Rabi‘ul Awwal, apabila kita lihat dengan teliti, kita akan dapati ceramah-ceramah itu adalah pada asalnya ceramah yang bersifat rutin yang tetap akan dilaksanakan juga pada bulan-bulan lain. Cuma, ceramah-ceramah itu bersifat istimewa disebabkan keistimewaan sambutan Maulid di Negara ini. Justeru, apapun tanggapan pendakwah samada sambutan itu sesuai ataupun tidak, tetap para pendakwah harus mengisi pelawaan ceramah-ceramah itu dengan pengisian yang ilmiah. Janganlah diisi ceramah-ceramah itu dengan huraian tentang Nur Muhammad yang hanya berasaskan hadith palsu! Di samping itu, hendaklah para pendakwah menekankan perihal ikutan terhadap Rasulullah s.a.w. dan penolakan terhadap amalan-amalan baru dalam Islam yang menyalahi sunnah junjungan mulia kita Nabi Muhammad s.a.w.
Semoga mendapat manfaat.

1.24.2010

Catatan hadith dalam penulisan ilmiah

Cetak Halaman

Assalamu alaikum ikhwah yang dihormati sekelian.

Menghadapi dunia penulisan ilmiah yang merangkumi apa sahaja bentuk penulisan yang mengandungi ilmu yang bermanfaat samada jurnal, tesis, buku, makalah dalam surat khabar mahupun majalah, saya merasakan ada kekurangan yang perlu ditangani oleh umat Islam dengan kadar segera namun minima… Kekurangan itu ialah perihal rujukan sesuatu hadith yang dibawa dalam penulisan ilmiah tersebut. Saya telah membentangkan permasalahan ini dalam beberapa siri wacana dan seminar (terakhirnya di Seminar Takhrij Universiti Malaya Disember 2009). Untuk tujuan perkongsian maklumat, saya merasa terpanggil untuk memuatkan sedutan kertas kerja yang mengupas permasalahan ini. Saya hanya memilih bahagian yang berkenaan sahaja untuk memudahkan para pembaca sekelian. Bahagian yang dimaksudkan adalah seperti berikut, semoga mendapat manfaat:

1. Tahap-tahap pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith dalam penulisan ilmiah:

Selepas dilakukan takhrij iaitu usaha mengenalpasti sumber sesuatu hadith, seseorang pengkaji itu akan membentangkan natijah usahanya itu. Pembentangan ini dilakukan dalam bahan bertulis. Apakah bentuk pembentangan al-Takhrij yang unggul? Perkara ini dapat dikategorikan seperti berikut:

1.1. Pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith tahap kelas pertama
Pembentangan al-Takhrij tahap kelas pertama ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a. Telah merujuk kepada semua sumber autentik Hadith merangkumi sumber asal, separa asal dan bukan asal.
b. Mencatatkan kesemua sumber-sumber itu dengan menjelaskan Kitab dan Bab serta Nombor.
c. Melakukan dan mencatatkan analisa sanad dan matan hadith dari sumber-sumber itu.
d. Menjelaskan tahap kesahihan hadith secara terperinci berdasarkan biodata periwayat dan ketepatan matan, dengan menyatakan kata-kata ulamak yang muktabar atau penilaian sendiri.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas pertama ini dilakukan dalam karangan-karangan ilmiah para ulama dan tesis-tesis ilmiah para siswazah yang sememangnya menjurus kepada bidang al-Takhrij.

1.2. Pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith tahap kelas kedua
Pembentangan al-Takhrij tahap kelas kedua ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a. Telah merujuk kepada satu atau beberapa sumber autentik Hadith yang asal sahaja.
b. Mencatatkan sumber-sumber itu dengan menjelaskan Kitab dan Bab. Nombor pula mungkin dinyatakan.
c. Menjelaskan tahap kesahihan hadith itu secara agak terperinci, dengan menyatakan kata-kata ulamak yang muktabar atau penilaian sendiri.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas kedua ini dilakukan dalam karangan-karangan ilmiah para ulama dan tesis-tesis ilmiah para siswazah yang tidak menjurus kepada bidang al-Takhrij.

1.3. Pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith tahap kelas ketiga
Pembentangan al-Takhrij tahap kelas ketiga ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a. Telah merujuk kepada satu sumber autentik Hadith yang asal sahaja.
b. Mencatatkan sumber itu dengan menjelaskan Kitab dan Bab. Nombor pula mungkin dinyatakan.
c. Menjelaskan tahap kesahihan hadith itu secara ringkas, dengan menyatakan kata-kata ulamak yang muktabar atau penilaian sendiri.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas ketiga ini dilakukan dalam karangan-karangan ilmiah para ulama dan tesis-tesis ilmiah para siswazah yang tidak menjurus kepada bidang al-Takhrij dan bertujuan untuk ringkas.

Nota:
1. Mengapa nombor hadith dirasakan tidak penting dalam tahap 2 dan tahap 3, berbanding penyataan kitab dan bab?
Penulis menjelaskan dalam pembentangan Takhrij al-Hadith tahap kelas kedua dan ketiga bahawa nombor hadith boleh ditulis atau sebaliknya kerana penulis dapati di luar sana terdapat pelbagai cetakan bagi sumber-sumber hadith merangkumi sumber primer, sekunder dan tritier. Nombor hadith dalam satu cetakan mungkin sahaja akan berbeza dengan nombor hadith yang sama dalam cetakan lain. Para ilmuan di Malaysia pula tidak pernah bersepakat untuk memilih cetakan sumber hadith yang spesifik. Justeru, sekiranya sesuatu penulisan ilmiah itu hanya menyatakan nombor hadith sahaja, tanpa nama kitab mahupun bab, perkara ini akan merumitkan proses siasatan lanjutan terhadap kesahihan maklumat berkenaan hadith tersebut, seperti pendalilan, terjemahan dan status. Sebaliknya, jika nama kitab dan nama bab dinyatakan, proses siasatan dan penjejakan akan dapat dibuat dengan mudah kerana kitab dan bab kebiasaannya serata walaupun dalam cetakan-cetakan yang berbeza.

2. Mungkin akan timbul satu soalan lain iaitu perkara ini tidak relevan dengan adanya pelbagai perisian hadith yang canggih dan dapat menjejak sesuatu hadith dengan tuntas dan pantas.
Penulis menjawab soalan ini dengan mengatakan bahawa perisian hadith yang canggih ini tidak dimiliki oleh semua ilmuan yang berkecimpung dalam bidang hadith apatah lagi oleh ilmuan yang berada dalam pengkhususan lain. Di samping itu, apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga seperti keterbatasan akses internet ataupun keghaiban letrik, pastinya rujukan bercetaklah yang akan menjadi teman setia ilmuan terbabit.

1.4. Pembentangan aplikasi Takhrij al-Hadith tahap gagal
Pembentangan al-Takhrij tahap gagal ialah yang menepati ciri-ciri berikut:
a. Tidak menekankan rujukan kepada mana-mana sumber autentik Hadith. Mungkin dinyatakan dan mungkin juga tidak.
b. Tidak menekankan catatan terperinci sumber autentik. Mungkin dibuat dan mungkin juga tidak.
c. Tidak menjelaskan langsung tahap kesahihan hadith itu.

Kebiasaannya pembentangan al-Takhrij tahap kelas kedua ini dilakukan dalam karangan-karangan individu yang tidak terdedah kepada ilmu Hadith.

(Selesai nukilan) Semoga dengan penjelasan ini, kita lebih berhati-hati dalam penulisan hadith yang dimasukkan ke dalam semua penulisan ilmiah.

1.16.2010

"Siapa Betul?"

Assalamualaikum w.b.t



Untuk melihat rakaman selanjutnya, sila muat turun di sini.

Sekian

Wassalam

1.04.2010

Ustaz Fadlan di Konvensyen Sunnah Ke 5

Tajuk: "Dakwah Melalui Media - Keperluan, Peluang dan Cabaran"



Untuk melihat rakaman video selanjutnya sila ke pautan berikut:

TV SUNNAH 2

Sekian

Wasslam

12.18.2009

Rakaman - Ma'al Hijrah

Cetak Halaman

Assalamualaikum w.b.t



Untuk melihat rakaman selanjutnya, sila muat turun video di sini.

Namun begitu, ingin dimaklumkan bahawa pada video tersebut, ada beberapa bahagian yang tidak terakam di atas sebab-sebab teknikal.

Semoga bermanfaat.

Sekian.

Wassalam.

12.17.2009

Siaran Langsung - 'Maal Hijrah'

Cetak Halaman

Assalamualaikum kepada pengunjung setia blog ini.

Saya ingin memaklumkan rancangan berikut:

Siaran Langsung

Hello Malaysia (TV Bernama) 502 Astro

Tajuk: "Maal Hijrah"

Tarikh: 17 Disember 2009

Masa: 10 malam

Panel pertama: Ustaz Fadlan Mohd Othman (UKM, Bangi)

Panel kedua: Ustaz Fathul Bari Mat Jaya

Semoga amalan kita dirahmati Allah Ta'ala...

11.26.2009

Selamat Berkorban Di Hari Hari Raya

Cetak Halaman

SALAM AIDIL ADHA

"Taqabbalallahu minna wa minkum", semoga Allah mengerima amalan kita semua.

Sempena pertemuan dua hari raya iaitu Hari Raya Korban dan Hari Jumaat, sila baca artikel berikut:

Sumber: (http://drmaza.com/home/?p=847)

Wajibkah Jumaat Pada Hari Raya?
Disiarkan pada Nov 26, 2009 dalam kategori Fatwa, Soal Jawab |

Soalan: “Apakah benar jika hari raya berlaku pada Hari Jumaat maka sesiapa yang menunaikan Solat Hariraya tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Jumaat?



Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin:
Para fuqaha (sarjana Fekah) berbeza pendapat dalam hal ini. Di kalangan ulama, terutama dalam Mazhab Hanbali menyatakan tidak wajib Jumaat untuk makmum yang sudah menghadiri solat Hariraya, kecuali imam. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w ketika hariraya berlaku pada Hari Jumaat :

قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih).

Berdasarkan hadis di atas, maka seseorang diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat Jumaat setelah menunaikan Solat Hariraya, atau berpada dengan solat berkenaan. Maka dengan itu dia wajib menunaikan Solat Zohor. Terdapat pendapat di kalangan ulama bahawa Zohor juga tidak wajib disebabkan Nabi s.a.w tidak pun menyebut hal ini dan Hari Jumaat yang diwajibkan adalah Solat Jumaat, maka apabila ia digugurkan tidak perlu mengganti apa-apa. Antara yang berpendapat tidak wajib diganti dengan Zohor ialah al-Imam Syed Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/267, Beirut: Dar al-Fikr).

Apapun, hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, termasuk amalan pada zaman Umar, Abdullah ibn al-Zubair dan Ibn ‘Abbas menyebut perbuatan meninggalkan Jumaat pada hariraya itu أصابت السنة “Betul dari segi sunnah” (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra 2/366, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Cumanya, mereka kebanyakannya berpendapat wajib Zohor. Adapun imam hendaklah menunaikan Jumaat untuk mereka yang hendak menunaikan Jumaat, atau tidak menunaikan Solat Hariraya, maka wajib dia menunaikan Jumaat.

Dengan diakui ada perbezaan pendapat di kalangan sarjana hukum, namun saya cenderung kepada tidak wajib Jumaat bagi makmum yang sudah menunaikan solat Hariraya berdasarkan hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, juga sifat Islam itu sendiri yang meringankan apabila ada ruang kelonggaran. Apatahlagi, maksud perhimpunan kaum muslimin telah tertunai pada hari tersebut, maka perhimpunan solat hariraya sudah dapat memenuhi maksud perhimpunan solat Jumaat.

11.03.2009

JAIS VS DR MAZA: SIMPATI, SAYANG DAN SOKONG

Cetak Halaman

Simpati, Sayang, Sanjung dan Sokong

Semasa saya bergegas ke UKM untuk menghadiri satu Seminar, saya dikejutkan dengan berita IKIM yang menyebut tentang penahanan al-Akh al-Fadhil al-Ustaz al-Karim Dr. Mohd. Asri di sebuah banglo, Hulu Kelang… Terdetik dalam hati saya, “Ish, Jais ni tak de kerja lain ke…” Saya pun terus bertanyakan berita meminta kepastian daripada seorang rakan dan dia mengesahkan perkara itu… Lalu saya menghantar sms kepada Dr. MAZA “Salam akhil habib Aba Talhah, semoga Allah memartabatkan Sunnah dgnmu, dan kami sentiasa menyokongmu. A’anakallahu wa iyyana, wa hadahumullah..” Setibanya di Uniten untuk Seminar tersebut, selepas beberapa ketika saya terdengar beberapa ucapan pensyarah dan pelajar yang saya kira sebagai luahan perasaan tidak puas hati dengan apa yang terpampang di muka utama beberapa akhbar, “Tak da kerja lain dia orang ni, banyak lagi orang buat maksiat tak ditangkap pula..” Apabila dalam perjalanan mengambil anak, petangnya, saya menerima satu lagi panggilan seorang rakan pensyarah yang meluahkan perasaan tidak puas hatinya, antaranya, “Tak ada kerja lain, ulamak ditangkap, orang buat maksiat terang-terang berlambak lagi dibiarkan sahaja…” Beberapa ketika setibanya di rumah seorang rakan pensyarah menelefon dan berkata, antaranya, “Dia kena tangkap tu tanda dia betullah tu…”
Ringkasan sehari itu, pada hemat saya, menunjukkan bagaimana penangkapan Dr. MAZA memberi impak dalam kehidupan masyarakat di institusi pengajian tinggi…
Saya amat bersimpati kepada JAIS kerana ramai yang tidak puas hati dengan tindakan mereka, simpati kepada Dr. MAZA kerana ditangkap tanpa bukti tanpa waran. Saya sayangkan JAIS kerana ramai yang mengharapkan usahanya disalurkan kepada islah masyarakat dan bukannya penangkapan para ilmuan; sayangkan Dr. MAZA kerana beliau ditahan semasa giat menyampaikan ilmu dan cukup berhikmah dalam penyampaian. Saya sanjung JAIS jika dapat memberi ruang kepada para ilmuan dalam usaha islah masyarakat, sanjung Dr. MAZA kerana beliau telah menggerakkan usaha islah ini dengan tekun dan amanah. Akhirnya saya sokong JAIS memudahkan proses pemberian tauliah kepada para ilmuan; saya sokong Dr. MAZA diberikan tauliah dan kebenaran mengajar di seluruh negeri-negeri di bumi Malaysia tercinta tanpa sebarang gangguan dan sekatan…

10.30.2009

Kongsi Maklumat

Cetak Halaman

Assalamu alaikum kepada semua ikhwah yang disegani,

Saya ingin berkongsi satu persoalan yang menjadi satu pengalaman baik. Pada minggu lepas, seorang Professor Malim dari Universiti of Jordan telah berkunjung ke Jabatan kami (Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah). Di dalam sesi pertama iaitu Isnin 19 Oktober, semasa soal jawab, seorang pensyarah telah bertanya beliau berkenaan dengan kemelut yang berlaku di Mesir di mana al-Shaykh al-Tantawi telah menyatakan bahawa beliau akan mengharamkan penggunaan ‘niqab’ di institusi pengajian di Mesir, lalu Professor Malim itu (Proffesor Dr Muhammad Khazir al-Majali) menjawab antara lain seperti berikut, “Shaikh al-Tantawi telah menziarahi sebuah sekolah perempuan. Apabila beliau masuk ke satu bilik darjah, guru kelas itu menutup wajahnya dan begitu juga dengan seorang pelajar. Al-Shaikh al-Tantawi bertanya kenapakah pelajar itu menutup wajahnya, lalu pelajar itu mengatakan bahawa hukumnya wajib. Al-Tantawi menyuruh pelajar itu membuka niqabnya dan mengatakan ianya tidak wajib dan tiada dalam Islam. Guru kelas itu mempertikaikan jawapan beliau dan beliau marah. Apabila pelajar tersebut telah membuka niqabnya, al-Tantawi mengatakan ‘Wajah awak tak cantik, bagaimana jika wajah awak cantik?’ Kemudian beliau mengumumkan bahawa beliau akan menghalang penggunaan niqab di institusi pengajian. Akan tetapi al-Shaikh al-Tantawi telah pun menarik balik pengumuman menghalang penggunaan niqab itu tidak lama kemudian.”
Pengajaran yang dapat digarap daripada peristiwa tersebut mengikut apa yang saya faham daripada ulasan Prof. Dr Muhammad al-Majali:
1- Seorang yang alim sepatutnya tidak mudah diganggu emosinya dengan teguran orang lain terhadapnya.
2- Kenyataaan al-Tantawi terhadap pemakaian niqab bahawa ianya tidak wajib dan tiada dalam Islam adalah silap kerana perkara tersebut ada dalam Islam.
3- Individu-individu muslim sepatutnya bertoleransi dalam perkara yang khilaf dan tidak sewenang-wenangnya menolak pendapat yang bertentangan dengan pendapat yang dipegangi.
4- al-Shaikh al-Tantawi telah menarik balik kenyataannya tentang Niqab.

Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku di bumi Mesir itu…

10.02.2009

Rakaman 'Kita Antara Pahala Dan Dosa'

Cetak Halaman

Assalamualaikum w.b.t





Untuk melihat rakaman selanjutnya, sila muat turun video di sini.

Sekian

Wassalam.
Related Posts with Thumbnails