RSS Feeds

Translate


3.30.2012

Ujian merangkumi susah Dan senang

Islam Selamat Dunia dan Akhirat

Dr Fadlan Mohd Othman, Pengerusi iLMU.

MATLAMAT hidup manusia dan jin dalam Islam amat jelas. Allah SWT menyatakan bahawa tujuan dua makhluk ini dicipta adalah semata-mata untuk merealisasikan ibadah kepada-Nya.

Kenyataan ini ditegaskan dalam firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56 yang bermaksud:

“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadat kepada-Ku.”

Namun begitu, pemerhatian menunjukkan bagaimana kenyataan yang terang lagi bersuluh ini gagal difahami kebanyakan masyarakat manusia, termasuk di kalangan umat Islam.

Islam adalah agama paling hebat. Allah meredai Islam sebagai satu-satunya agama yang menyelamatkan umat manusia di dunia dan di akhirat. Sesiapa mencari kesejahteraan dan kerohanian daripada selain Islam, maka usahanya tidak akan diterima Allah.

Perkara ini jelas diterangkan dalam surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi.”

Kehebatan agama Islam terserlah dengan keprihatinan ajarannya terhadap keseluruhan aspek kehidupan umat manusia. Ini adalah kerana ajaran Islam adalah wahyu daripada Tuhan semesta alam yang mempunyai ilmu maha menyeluruh terhadap umat manusia.

Apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. sama ada al-Quran mahupun sunnah Baginda adalah wahyu daripada Allah.

Berdasarkan kepada fakta inilah kita diarahkan agar menjadikan Rasulullah sebagai ikutan dan teladan unggul dalam kehidupan. Apa saja dibawa oleh baginda adalah contoh terbaik bagi umat Islam khususnya dan bagi umat manusia amnya.

Allah mengarahkan demikian dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud:

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang baginda larang kamu daripada melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya.”

Suatu perkara yang perlu ditekankan ialah bahawa ajaran Rasulullah mencakupi kedua-dua aspek praktikal dan spiritual.

Hidup adalah medan ujian

Melihat kepada kehidupan manusia, kita dapati umat manusia tidak dapat lari daripada menghadapi ujian keburukan dan kebaikan. Dapat dilihat ramai di kalangan manusia gagal dalam berinteraksi dengan ujian keburukan dan ujian kebaikan.

Apabila ditimpa keburukan, sering kali ada di kalangan manusia yang menganggapnya sebagai satu ujian. Akan tetapi, apabila dikurniakan kebaikan, mereka tidak pula menganggapnya sebagai satu ujian.

Hasilnya ialah bila ditimpa keburukan, ada insan yang akan kembali kepada Allah. Sebaliknya, bila dikurniakan kebaikan, ramai yang akan lupa diri dan menganggap diri mereka bebas daripada garis panduan Islam. Persoalannya ialah, bukankah Islam itu satu agama paling sempurna?

Tidakkah wujud garis panduan berinteraksi dengan keburukan dan kebaikan dalam ajaran Islam? Jika ada, mengapa masih ramai insan yang seakan-akan hilang pedoman bila berhadapan dengan ujian keburukan dan kebaikan?

Marilah kita meneliti al-Quran dan sunnah yang menjadi panduan terbaik dalam menghadapi kehidupan. Di dalam menghadapi kebaikan, manusia diperintahkan agar bersyukur. Jika dia bersyukur dia akan memperoleh pahala untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Naml ayat 40 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mensyukuri nikmat maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya dan sesiapa yang mengkufuri nikmat maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.”

Allah tidak akan terkesan walau sekelumit dengan hamba-Nya yang kufur nikmat.

Umat Islam perlu sentiasa ingat bahawa orang bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya akan diberikan tambahan nikmat. Orang yang mengingkari nikmat pula adalah berisiko tinggi untuk mendapat azab yang pedih daripada Allah.

Lihatlah firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:

“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” Orang yang beriman juga perlu sentiasa ingat bahawa Allah boleh saja menarik balik nikmat orang yang tidak bersyukur.

Tindak balas manusia menjadi penentu

Kesenangan itu tidak semestinya baik untuk manusia sebagaimana kesusahan itu tidak semestinya buruk untuknya. Petunjuk yang menentukan kesenangan atau kesusahan itu baik atau buruk sudah dijelaskan Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud:

“Amat ajaib keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua keadaannya adalah baik belaka. Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin. Sekiranya dia dikurniakan kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik untuknya.” (Hadis riwayat al-Imam Muslim, No. 5318).

Daripada hadis ini dapatlah difahami bahawa tindak balas mukmin adalah amat dominan dalam menghadapi ujian kesenangan dan kesusahan.

Oleh itu, ketika ditimpa kesusahan, jika dia dapat menerima dan bertindak menepati kesabaran dan keredaan, maka di situlah dia akan mendapat balasan baik yang setimpal; dia akan diredai oleh Allah. Tetapi jika dia tidak reda dan sering memarahi, maka dia hanya akan mendapat kemurkaan daripada Allah.

Rasulullah menegaskan hakikat ini dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya ketinggian pahala itu setimpal dengan kegetiran ujian. Sesungguhnya Allah sekiranya Dia cinta kepada sesuatu kaum Dia akan menguji mereka. Maka sesiapa yang reda akan mendapat keredaan dan sesiapa yang marah akan mendapat kemurkaan.” (Hadis riwayat al-Imam Ibn Majah, No. 3272 dan dinilai hasan oleh al-Albani).

Rasulullah juga mengajarkan zikir dan doa apabila kita mendepani musibah. Zikir dan doa itu ialah: “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Allahuma’jurni fi musibati. Wa akhlif li khairan minha” yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nyalah kami akan kembali. Ya Allah berilah pahala padaku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya.” Bagi orang yang menyebut doa ini, Allah akan memberi pahala kepadanya dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. (Hadis riwayat al-Imam Muslim, No. 918).

Kesabaran yang dikira dalam menghadapi musibah ialah bila mana dilakukan seawal musibah menimpa. Ini bertepatan dengan satu lagi hadis nabi iaitu diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. katanya: Nabi berjalan di sebelah seorang wanita yang menangis di sisi satu kubur.

Baginda berkata:

“Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah.” Jawab wanita itu: “Pergilah, engkau tidak ditimpa seperti musibahku ini.” Dia tidak mengetahui bahawa itu ialah Rasulullah. Kemudian ada orang berkata kepada wanita itu: “Lelaki itu adalah nabi.” Wanita itu pun bergegas menuju ke pintu rumah Nabi yang didapati tidak dijaga oleh sesiapa.

Kemudian dia berkata kepada nabi: “Aku tidak mengenalimu sebentar tadi.” Rasulullah hanya menjawab: “Sesungguhnya sabar itu pada kejutan yang pertama.” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1203).

Sesungguhnya pahala yang besar di sisi Allah adalah bersabar ketika sesuatu musibah menimpa pada saat itu juga.

Perkara inilah yang perlu dilakukan seperti mana diajarkan oleh agama kita apabila berhadapan dengan sesuatu ujian daripada Allah sama ada ujian yang buruk mahupun ujian yang baik. Janganlah kita meniru kaedah orang kafir dan jahiliyah yang meratap ketika ditimpa musibah dan berfoya-foya ketika diberi kesenangan.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam, UKM

Harian Metro, Jumaat 16 Mac 2012

0 comments:

Related Posts with Thumbnails