Berkata al-Iman Muslim: Yahya bin Yahya memberitahu kami katanya Aku membaca kepada Malik daripada Abu al-Zubair daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibnu Abbas katanya “Rasulullah s.a.w. telah solat Zuhur dan Asar secara jamak serta Maghrib dan Isyak secara jamak tanpa ketakutan mahupun pengembaraan.”
Diriwayatkan oleh Muslim, Kitab Solat para pengembara dan Qasar solat, Bab Jamak antara dua solat dalam keadaan mukim. No. 1146.
Berkata al-Imam Muslim: Ahmad bin Yunus memberitahu kami, juga ’Aun bin Sallam kedua-duanya daripada Zuhair berkata Ibnu Yunus, Zuhair memberitahu kami, Abu al-Zubair memberitahu kami daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibnu Abbas katanya ‘Rasulullah s.a.w. solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah tanpa ketakutan mahupun pengembaraan’. Abu al-Zubair berkata, ‘Aku bertanya Sa’id, ‘Kenapa Baginda buat demikian?’ Katanya, ‘Aku bertanya Ibnu Abbas sepertimana kamu tanya aku lalu beliau menjawab, ‘Baginda inginkan agar tidak membebankan seorangpun daripada umatnya’.
Diriwayatkan oleh Muslim, Kitab Solat para pengembara dan Qasar solat, Bab Jamak antara dua solat dalam keadaan mukim. No. 1147.
(Berkata al-Imam al-Nawawi): Kata-katanya dalam hadith Ibnu Abbas “Rasulullah s.a.w. telah solat Zuhur dan Asar secara jamak serta Maghrib dan Isyak secara jamak tanpa ketakutan mahupun pengembaraan”, Ibnu Abbas menjawab orang yang bertanya, ‘Kenapa dia berbuat demikian?’ dengan berkata ‘Baginda inginkan agar tidak membebankan seorangpun daripada umatnya’.
Dalam riwayat lain daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah s.a.w. menjamak solat dalam pengembaraannya ke peperangan Tabuk, lalu dia jamak Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Berkata Sa’id bin Jubair, ‘Aku tanya Ibnu Abbas, apa sebabnya?’ Katanya, ‘Dia inginkan agar tidak membebankan umatnya’.
Dalam riwayat Muaz bin Jabal pun begitu juga, bahawa ianya di dalam peperangan Tabuk dan dia berkata seperti kata-kata Ibnu Abbas.
Dalam riwayat lain daripada Ibnu Abbas ‘Rasulullah s.a.w. menjamak solat Zuhur dengan Asar dan solat Maghrib dengan Isyak di Madinah tanpa ketakutan mahupun hujan.’ Aku bertanya Ibnu Abbas, ‘Kenapa baginda berbuat demikian?’ Jawabnya, ‘Supaya baginda tidak membebankan umatnya’.
Dalam riwayat lain daripada Amr bin Dinar daripada Abu al-Sya’tha’ Jabir bin Zaid daripada Ibnu Abbas katanya, ‘Aku solat bersama Nabi s.a.w. lapan rakaat secara jamak dan tujuh rakaat secara jamak.’ Aku bertanya, ‘Wahai Abu al-Sya’tha’, aku rasa dia melewatkan Zuhur dan mencepatkan Asar serta melewatkan Maghrib dan mencepatkan Isyak.’ Katanya, ‘Aku juga rasa demikian’.
Dalam satu riwayat lain daripada Abdullah bin Syaqiq katanya, ‘Ibnu Abbas berkhutbah kepada kami satu hari selepas Asar sehingga terbenamnya matahari dan munculnya bintan-bintang. Orang ramai mula berkata, ‘Solat! Solat!’ Ada seorang lelaki dari Bani Taim berterusan menyebut, ‘Solat! Solat!’ Ibnu Abbas berkata, ‘Adakah engkau hendak mengajarku tentang Sunnah, tiada ibu bagimu ? Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. menjamak Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak.’ Abdullah bin Syaqiq berkata, ‘Perkara itu berlegar dalam dadaku lalu aku pergi kepada Abu Hurairah dan bertanya lalu beliau membenarkan kata-katanya’.’
Riwayat-riwayat ini sabit dalam Sahih Muslim seperti yang anda perhatikan. Para ulamak mempunyai pelbagai huraian dan mazhab dalam perkara ini. Al-Tirmizi telah berkata di penghujung kitabnya, ‘Dalam kitabku ini, tidak terdapat hadith yang disepakati ulamak untuk meniggalkannya kecuali hadith Ibnu Abbas berkenaan jamak di Madinah tanpa ketakutan dan hujan di samping hadith hukum bunuh peminum arak pada tangkapan keempat’. Apa yang dinyatakan oleh al-Tirmizi berkenaan hadith peminum arak adalah tepat kerana hadith ini mansukh menurut Ijmak. Berkenaan hadith Ibnu Abbas pula, mereka tidak berijmak meniggalkannya sebaliknya mereka mempunyai beberapa pendapat.
Ada di antara mereka yang berkata baginda jamak kerana hujan. Ini pendapat sekumpulan ulamak besar terdahulu. Pendapat ini lemah berdasarkan riwayat lain ‘tanpa ketakutan mahupun hujan’.
Ada di antara mereka yang menghuraikannya bahawa keadaan redup lalu baginda solat Zuhur kemudian matahari muncul dan ternyata waktu Asar sudah masuk lalu baginda solat Asar. Ini juga batil kerana walaupun berkemungkinan berkenaan Zuhur dan Asar, ianya tidak berkemungkinan berkenaan Maghrib dan Isyak.
Ada di antara mereka yang menghuraikannya dengan melewatkan solat pertama kepada akhir waktunya lalu dilaksanakan di waktu itu. Apabila selesai, masuk waktu kedua lalu dilaksanakan pula. Jadi jamaknya ialah jamak dalam bentuk sahaja. Ini juga lemah atau batil kerana ianya bercanggahan dengan zahir hadith tanpa sebarang kemungkinan. Di samping itu, perbuatan Ibnu Abbas yang kami nyatakan semasa memberi khutbah dan pendalilannya dengan hadith ini, disusuli pembenaran Abu Hurairah kepadanya dan tidak pula mengingkarinya, ini semua jelas menolak huraian ini.
Ada di antara mereka yang berkata ini dikaitkan dengan jamak kerana sakit atau seumpamanya yang membawa maksud yang sama dari sudut keuzuran. Ini pendapat Ahmad bin Hanbal dan Qadi Husain dari sahabat-sahabat kami. Ianya dipilih oleh al-Khattabi, al-Mutawalli dan al-Rawyani dari sahabat-sahabat kami. Dan inilah pendapat yang terpilih dalam huraian hadith ini kerana ianya bertepatan dengan zahir hadith ini, perbuatan Ibnu Abbas dan persetujuan Abu Hurairah. Juga kerana beban yang ditanggung padanya lebih berat daripada hujan.
Ada pendapat sekumpulan ulamak bahawa dibenarkan jamak solat semasa mukim disebabkan keperluan bagi mereka yang tidak menjadikannya kebiasaan. Ini adalah pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari sahabat-sahabat Malik. Ianya juga disebut oleh al-Khattabi daripada al-Qaffal dan al-Syasyi al-Kabir daripada sahabat-sahabat al-Syafi’i daripada Abu Ishaq al-Marwazi daripada sekumpulan ahli-ahli hadith. Ia juga dipilih oleh Ibnu al-Munzir dan dikuatkan oleh zahir kata-kata Ibnu Abbas, ‘Baginda inginkan agar tidak membebankan umatnya’ dan tidak pula beliau nyatakan sebab sakit atau lain-lain. Allah juga yang Maha Mengetahui.
Cetak Halaman
skip to main |
skip to sidebar
RSS Feeds
Pensyarah Kanan / Senior Lecturer Jabatan Pengajian Al-Quran Dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Translate
Carian Al-Quran/Al-Hadith
Search in the Hadith |
Label
bernama TV
Ceramah Shaikh Salim al-Hilali di KGPA
Fiqhul Waqi'
Iman
Isu Semasa
Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah
Kelas agama
Manhaj ASWJ
Pendirian Muslim
Pengajaran Hidup
pengumuman
Permasalahan Dakwah
Permasalahan Fiqh
Permasalahan Hadith
Permasalahan Tafsir
Rakaman
Salam Pengenalan
Siaran langsung
Siasah
Solat
Sunnah
Taqwa
Tuntutan al-Sunnah dalam bulan-bulan Islam
Statistik
Copyright 2009
Ustaz Dr Fadlan Mohd Othman. Powered by Blogger
Blogger Showcase - Submit Your Blog Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress theme by Site5
Blogger Showcase - Submit Your Blog Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress theme by Site5
3 comments:
maaf bertanya,blurr..situasi jamak tanpa sebab ni,boleh dilakukan selalu ke?
mengikut hadith yang terdapat dalam sahih muslim itu, sebenarnya amalan jamak ini tidak boleh dilakukan berterusan tanpa keperluan...
ertinya boleh jamak solat sekiranya ada keperluan sahaja...
wallahu a'lam
Jzkk,ustz atas pencerahan..
kat pejabat sy ni,ada group yg menggunakan hadith jamak ni utk membolehkan amalan jamak tanpa sebab ni..maknanye depa solat 3 waktu shj..cam syiah plak..sbb tu sy nak belajar ilah hadith ni
Post a Comment