RSS Feeds

Translate


8.07.2013

Ucapan Hari Raya Aidilfitri 1434h

Assalamu alaikum warahmatullah.
Dengan penuh hormat saya, Dr Fadlan Mohd Othman dan famili mengucapkan kpd seluruh Umat Islam "Taqabbalallahu minna wa minkum" & "Selamat Hari Raya Aidilfitri"! 

Petikan Sinar Harian 6 Ogos


Di sebalik ungkapan mohon 'maaf zahir dan batin'

KUALA LUMPUR - Ungkapan 'maaf zahir batin' sudah menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia ketika memohon kemaafan terhadap kesilapan yang dilakukan terutama di pagi 1 Syawal.  
   
Namun, amalan bermaafan sesama insan tidak seharusnya ditangguh sehingga menjelang musim raya, sebaliknya perlu dilakukan dengan segera iaitu sebaik sahaja seseorang menyedari telah melakukan kesilapan.     
   
Pengerusi Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu) Dr Fadlan Mohd Othman berkata tidak terdapat dalil khusus mengenai bermaafan di hari raya dan menyifatkan perbuatan bermaafan itu sebagai satu tradisi yag menjadi amalan umat Islam di negara ini.
   
"Melihat kepada ungkapan 'maaf zahir batin', kita minta kesalahan kita dimaafkan pihak yang disalahi, jadi sepatutnya perkara itu tidak dikhususkan pada hari raya sahaja.
   
"Sebaliknya bila ada sahaja kesilapan yang kita buat pada orang, antara akhlak mulia yang diajarkan Islam ialah kita minta maaf," katanya ketika dihubungi di sini.
 
Fadlan berkata masyarakat Islam terutama kanak-kanak juga perlu dididik supaya tidak melihat pemberian duit raya ketika menziarahi saudara mara dan sahabat handai sebagai syarat wajib pada Hari Raya Aidifitri.
   
"Kalau tujuan kita (beri duit raya) untuk nak merapatkan hubungan dan mengembirakan anak-anak, itu tak ada masalah, cuma kalau benda itu bertukar menjadi syarat contohnya kita menziarah sebab nak dapat duit raya, jadi itu perlu diperbetulkan.
   
"Kita kena beritahu anak kita ini bukan syarat Hari Raya, kalau tak bagi (duit raya) pun tak ada masalah sebab ia bukan wajib dan bukan syarat, kalau kita ziarah orang pun atas dasar silaturrahim bukan bertujuan untuk dapat duit raya," katanya.  - Bernama

7.23.2013

Hikmah Ramadan_11



1.9.Konsep Terperinci Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan (Perintah)

·                     Berpuasa Ramadan secara berjemaah atau bermasyarakat. Rasulullah s.a.w. bersabda:
الصَّوْمُ يوم تَصُومُونَ وَالْفِطْرُ يوم تُفْطِرُونَ وَالْأَضْحَى يوم تُضَحُّونَ. [1]
Maksudnya: “Puasa ialah hari kamu semua berpuasa, hari raya puasa ialah hari yang kamu semua berhari raya puasa dan hari raya al-Adha ialah hari yang kamu semua berhari raya al-Adha.”

Ø    Penerapan taqwa 1: Hadith ini jelas menunjukkan agar umat Islam bersatu dalam pelaksanaan ibadah puasa. Perkara ini memupuk semangat kekitaan dan sama tinggi di kalangan masyarakat muslim. Tiada kasta dalam Islam. Orang yang mulia di sisi Allah Ta‘ala ialah orang yang bertaqwa tanpa melihat warna, bahasa, pangkat, bangsa mahupun harta. Firman Allah Ta ‘ala (al-Hujurat 49:13):

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Ø   Penerapan taqwa 2: Puasa adalah merupakan salah satu syiar Islam yang terhebat di mana ianya dilaksanakan secara bersatu, berkumpulan atau bermasyarakat. Perkara ini mendidik muslim agar sentiasa mendahulukan maslahat masyarakat melebihi maslahatnya. Ia juga mendidik muslim agar bekerjasama dalam usaha berdakwah kepada mentauhidkan Allah Ta‘ala dan menafikan unsur-unsur syirik. Sabda Rasulullah s.a.w.:
عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ ...قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ. [2]
Maksudnya: “Hendaklah kamu semua bersatu dan janganlah kamu berpecah. Sesungguhnya syaitan bersama dengan individu yang keseorangan. Syaitan akan mula jauh daripada dua orang yang bersatu. Sesiapa yang inginkan tempat yang termulia dalam syurga, hendaklah dia berpegang kepada kesatuan.”



[1]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’a al-Saum Yauma Tasumun wa al-Fitr Yauma Tuftirun wa al-Adha Yauma Tudhahhun, No. 697. Dihukum Sahih oleh al-Albani.
[2]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Fitan, Bab Ma Ja'a Fi Luzum al-Jama'ah, No. 2091. Dihukum Sahih oleh al-Albani.

Hikmah Ramadan_10



1.8.Konsep Terperinci Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan (Perintah)

·                     Berdoa sepanjang berpuasa:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْصَائمِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ [1]
Maksudnya: Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara.

Ø    Penerapan taqwa: Antara lain hadith ini menunjukkan bahawa doa orang yang berpuasa adalah makbul berpula dari masuk subuh hingga terbenam matahari. Hadith ini mendidik jiwa agar merendah diri kepada Allah dengan berdoa sepanjang masa tatkala berpuasa. Apabila sifat merendah diri ini wujud dalam jiwa muslim dengan doa dalam bulan mulia ini, pastinya dia akan meneruskan amalan mulia ini pada bulan-bulan lain. Dengan ini dia telah merealisasikan intisari ibadah, seperti dalam hadith berikut:
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ ثُمَّ قَرَأَ وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ. [2]
Maksudnya: Daripada al-Nu'man bin Basyir daripada Nabi s.a.w. sabdanya, “Doa itu ialah ibadah.” Kemudian baginda baca, {Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kepadaKu pasti akan Ku perkenankan untukmu. Sesungguhnya mereka yang sombong daripada beribadat terhadapKu akan masuk neraka Jahannam secara hina}.


[1]  HR al-‘Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir, dihukum sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1797.
[2]  HR al-Tirmizi, Kitab al-Da'awat, Bab Minhu, No. 3294. Dihukum Sahih oleh al-Albani.

Hikmah Ramadan_9



1.7.Konsep Terperinci Penjanaan Taqwa Dalam Bulan Ramadan (Perintah)

·                     Mengaitkan kegembiraan dengan ketaatan terhadap Allah:
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ. [1]
Maksudnya: Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; semasa dia berbuka dia akan gembira dan semasa dia berjumpa dengan Tuhannya dia akan bergembira dengan puasanya.
                       
Ø    Penerapan taqwa: Allah Ta‘ala mengkhabarkan bahawa muslim yang berpuasa wajar berasa gembira semasa berbuka puasa di dunia ini dan semasa berjumpa dengan Tuhannya di akhirat kelak. Ini menunjukkan betapa kegembiraan sepatutnya sentiasa dikaitkan dengan ketaatan dan nikmat sebagaimana kesedihan sewajarnya sentiasa dikaitkan dengan maksiat dan musibah.


[1]  HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Hal Yaqulu Inni Sa’im Idza Shutim. No. 1904.
Related Posts with Thumbnails