Pensyarah Kanan / Senior Lecturer Jabatan Pengajian Al-Quran Dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Translate
8.30.2011
Assalamu alaikum! Di pagi Hari Raya "Aidil Fitri" 1432h ini kami mengucapkan, "Taqabbalallahu Minna wa Minkum" Fadlan n Famili
8.26.2011
Persoalan Ramadan 3
8.11.2011
Beberapa Persoalan di Bulan Ramadan (2)
Persoalan Ramadan 2
Bukan tujuan saya untuk memberi fatwa, akan tetapi hanya pandangan dan coretan ringkas dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan Ramadan… Jika perlu perincian maka boleh sahaja dirujuk kepada kitab-kitab berkenaan hukum-hakam puasa.
Kedua; perihal amalan Rasulullah di akhir Ramadan,
a. Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di akhir Ramadan (10 malam terakhir), khususnya berkaitan solat?
b. Adakah seperti yang dilakukan oleh sebahagian masjid yang bersolat tarawih di awal malam dan bersolat qiyamullail di akhir malam?
c. Apakah amalan-amalan lain yang boleh dilakukan?
Alhamdulillah saya katakan di sini, walaupun kita masih di hari yang kesebelas telah ada orang yang bertanyakan perihal sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Ini adalah satu berita baik bahawa kita prihatin terhadap masa yang amat pantas berlalu.
a. Berkenaan dengan amalan Rasulullah s.a.w. di akhir Ramadan, soalan ini sering timbul kerana kita amat jauh daripada praktikal sunnah Rasulullah s.a.w. walaupun ada kesungguhan dalam usaha kita mendekatinya. Tidak mengapa, ini bukan satu kelemahan sebaliknya satu kelebihan dalam insan yang serba kekurangan. Secara umumnya, dalil-dalil menunjukkan solat Rasulullah s.a.w. khususnya solat malam, adalah solat yang panjang; persis solat Qiyamullail (akhir malam) di Masjid Haram pada 10 malam terakhir. Rasulullah s.a.w. memulakan solat di pertengahan malam dan berakhir berdekatan subuh… Memang begitulah hebatnya solat Rasulullah s.a.w. yang sukar kita ikuti, namun “apa yang tidak dapat diambil semuanya, janganlah ditinggalkan majoritinya”. Solat panjang Rasulullah itu adalah dengan panjangnya bacaannya, rukuknya, i’tidaknya, sujudnya…
b. Terus kepada amalan Terawih di awal malam dan Qiyamullail di akhir malam; sebenarnya nama-nama ini: Qiyamullail, Tahajjud, Solatullail dan Solatulwitr, adalah hanya alias (nama lain) bagi Solatuttarawih (Terawih) yang lebih sinonim dengan Bulan Ramadan dewasa ini. Memahami perkara ini sedemikian rupa, terjawablah persoalan ini. Cuma, jika ditanya lagi bukankah Rasulullah s.a.w. solat 11 rakaat sahaja, bagaimana kita solat 8 (atau 11) Tarawih dan 11 Qiyamullail? Jawapannya begini, tidak syak lagi bahawa yang terbaik ialah solat ikut gaya Rasululah s.a.w. iaitu 11 rakaat; ini diakui oleh mereka yang berpandangan solat malam hanya ada 11 rakaat sahaja dan juga oleh mereka yang berpandangan solat malam boleh ditambah menjadi 23. Justeru, untuk keluar dari perselisihan, amalan yang tidak diperselisihkan ialah dengan melaksanakan 11 rakaat. Terdapat dua ‘cuma’ di sini;
i. Sebahagian ulama mengatakan jika ingin dapat pahala penuh solat, caranya ialah dengan ikut imam hingga habis; ertinya jika imam solat 23, cara nak dapat pahala penuh sepanjang malam ialah ikut hingga selesai 23. Justeru, bagi yang mengambil pandangan 11 rakaat, tidaklah menjadi kesalahan jika membuat hingga 23 bersama Imam demi untuk mendapat pahala solat semalaman. Ini dinamakan mengambil pandangan marjuh (lemah), dan ini tidaklah merupakan kesalahan besar dalam Islam.
ii. Jika ingin dikekalkan 11 rakaat, akan tetapi ingin pula solat di awal dan di akhir malam, boleh sahaja dibahagikan dua; iaitu (sebagai contoh) solat 4 rakaat di awal malam dan selebihnya di akhir malam.
c. Amalan-amalan lain yang boleh dilakukan pula, ialah apa sahaja amalan baik, khsususnya iktikaf, membantu saudara muslim yang memerlukan bantuan, membaca al-Quran, membaca terjemahan atau tafsir al-Quran, memberi nasihat dan amat banyak lagi… (Isu iktikaf akan dicoret kemudian insya Allah).
Beberapa Persoalan di Bulan Ramadan (1)
Persoalan Ramadan 1
Bukan tujuan saya untuk memberi fatwa, akan tetapi hanya pandangan dan coretan ringkas dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan Ramadan… Jika perlu perincian maka boleh sahaja dirujuk kepada kitab-kitab berkenaan hukum-hakam puasa.
Pertama; berkenaan dengan puasa wanita hamil. Antara lain, terdapat dua pandangan yang kuat dalam perkara ini iaitu:
a. Wanita hamil termasuk dalam kategori orang sakit yang perlu mengqada’kan puasanya pada masa lain…
b. Wanita hamil dan juga wanita yang menyusukan anak termasuk dalam kategori orang tua yang tidak mampu berpuasa lalu mereka hanya perlu membayar fidyah sahaja tanpa qada’ puasa…
Berdasarkan kepada pandangan kedua (yang saya rasakan lebih kuat), maka wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, jika dia merasakan akan wujud kemudaratan bila berpuasa maka dia hanya perlu membayar fidyah sahaja tanpa perlu menggantikan puasanya.
Demikian pandangan dan coretan ringkas pertama. Semoga Allah mengampunkan kita semua dalam bulan mulia ini.
Carian Al-Quran/Al-Hadith
Search in the Hadith |
Label
Statistik
Blogger Showcase - Submit Your Blog Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress theme by Site5